Syukur, berebut-rebut 'rider' nak bantu kerja amal: Ebit Lew

Nama Ustaz Ebit Lew sinonim dengan kerja-kerja amal membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Terbaru, Ebit Lew berkongsi rasa syukurnya di Facebooknya kerana kerja amalnya mendapat bantuan 'rider' termasuk mereka yang bekerja dengan syarikat penghantar makanan untuk menghantar makanan kepada golongan yang memerlukan.
“Saya tanya siapa nak khidmat kerja amal. Berebut-rebut mereka sedia hantar makanan kepada yang memerlukan. Dah 3 hari mereka mulakan kerja ini,” kata Ebit Lew.
Melalui statusnya, Ebit Lew turut memberitahu, terdapat ribuan nama yang masih memerlukan bantuan
“1,500 nama lagi list nama sekitar Kuala Lumpur perlu bantuan. Ada 30 orang kurang upaya (OKU) kami jumpa yang betul-betul mengharapkan bantuan ketika ini. Dapat je beras dan barang dapur ini mereka menangis gembira,” tulisnya.
Mereka menggerakkan proses penghantaran bantuan tersebut dengan menggunakan 20 motosikal dan 3 kereta.
“Hebat semua anak muda ini. Ke sana sini hantar makanan. Mereka sebak gembira,” kata Ebit Lew.